Wednesday, March 10, 2010

Aktiviti : Cabutan KUTU KRT Fasa4 & Majlis Hari Jadi Ahli KRT


Sekitar aktiviti Cabutan Kutu KRT dan Majlis Hari Jadi Ahli





Cabutan Kutu KRT fasa 4 telah diadakan pada 10 Mac 2010. Seramai 40 orang ahli KRT fasa 4 menyertai program ini yang bermula sejak tahun 2008 lagi. Aktiviti Kutu KRT ini telah banyaka memberi manfaat kepada ahli terutama kepada yang memerlukan bantuan kewangan disamping memupuk tali silaturrahim sesama ahli KRT.

Penyertaan aktiviti ini terbuka kepada semua kaum dan terdapat ahli dari kalangan bangsa cina yang turut serta di dalam aktiviti ini. Cabutan Kutu KRT di buat setiap 10 haribulan tiap bulan.

Di samping itu, terdapat ahli-ahli mengambil peluang di dalam aktiviti bulanan ini menyambut hari kelahiran masing-masing. Ini secara tidak langsung telah menambahkan menceriakan ke dalam aktiviti tersebut.

Cabutan Kutu KRT pada tahun 2009 akan tamat pada bulan Jun 2010 kelak dan ia akan disambung semula selepas itu.



KRT - BERSATU TERUS MAJU

Sunday, February 28, 2010

RONDAAN SRS PERDANA

Rondaan SRS Perdana telah berlangsung pada 27 february 2010 dari jam 12 malam hingga 5 pagi. Rondaan besar-besar ini dilakukan sebagai satu langkah prokatif KRT Fasa 4 untuk menangani kes-kes kecurian dan pecah rumah yang kerap berlaku baru-baru ini. Rondaan sebegini akan diteruskan setiap minggu mengikut kesesuaian hari, masa dan keadaan.

Dalam operasi tersebut seramai 67 orang peronda SRS KRT Fasa 4 telah turut serta melapangkan masa menjalankan operasi selama 6 jam itu yang turut dibantu oleh anggota polis dari Bandar Sultan Suleiman.

KRT - Bersatu Terus Maju.



Sebahagian dari anggota SRS KRT fasa 4 yang mengambil bahagian


Pengerusi Keselamatan memberikan taklimat sebelum rondaan bermula


Antara anggota wanita yang mengambil bahagian

Saturday, October 10, 2009

Program Kacau Dodol KRT Bersama Pemuda UMNO Kapar

Pengerusi KRT Fasa 4, En Zamani bersama Ketua Pondok Polis BSS, Kpl Musa sedang mengacau dodol


Ahli KRT Fasa 4 yang mengambil bahagian



Hadiah saguhati dari ADUN Kapar, YB Dato Haji Abdul Rahman Haji Palil


Walaupun tidak berjaya namun hati tetap gembira



KRT Bandar Sultan Suleiman Fasa 4 telah turut serta di dalam pertandingan mengacau dodol yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Bahagian Kapar pada 12 September 2009 bersempena dengan bulan Ramadan serta Syawal yang bakal tiba. Pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh ADUN Bahagian Kapar, YB Dato Haji Abdul Rahman Haji Palil merangkap Ketua UMNO Bahagian Kapar.

KRT Fasa 4 telah menghantar 2 pasukan ke pertandingan yang julung-julung kali diadakan di Bandar Sultan Suleiman ini. Walaupun tidak berjaya memenangi apa-apa hadiah, namun penyertaan KRT Fasa 4 sekadar untuk memeriah serta merapatkan lagi tali silaturahim dikalangan penduduk setempat. Syabas.


KRT - Bersatu Terus Maju

Wednesday, September 23, 2009

Risiko makan banyak di musim raya


Pelbagai makanan pada majlis rumah terbuka mendorong pengambilan makanan berlebihan pada hari raya.
- Gambar hiasan

SIAPA mampu menolak juadah pagi raya apabila lemang, ketupat dan rendang yang penuh menyelerakan terhidang di atas meja makan menunggu untuk dijamah.

Sementara menanti makan tengah hari, mulut mengunyah biskut raya dan kerepek sambil menonton rancangan menarik sempena raya di kaca televisyen.

Hampir semua hidangan mengandungi kadar lemak, gula, garam serta kolesterol yang tinggi. Itu belum dengan pelbagai jenis minuman manis yang sentiasa tersedia di dalam bekas air.

Begitulah lumrah pemakanan bagi kebanyakan individu setiap kali menjelang 1 Syawal. Puasa sebulan terus dibalas dengan makan dalam sehari.

Namun apakah risiko yang mungkin terjadi pada sistem perut dan penghadaman yang tiba-tiba dikejutkan dengan pemakanan mendadak ini?

Pakar pemakanan dari Iree Touch Sdn. Bhd., Ida Rafidah El-Emin memberitahu, dalam keadaan berpuasa, kadar metabolik turun kerana tidak banyak makanan untuk diproses.

Namun apabila hari raya individu yang makan terlalu banyak boleh mengakibatkan kadar metabolik mereka semakin tidak stabil.

"Kerana keadaan ini, individu yang makan berterusan akan mengalami penambahan berat badan secara mendadak, segala makanan yang masuk secara banyak itu tidak boleh dibakar oleh sistem metabolisme kerana keadaannya yang lemah selepas sebulan berpuasa," ujar Ida ketika ditemui di spanya yang terletak di Bandar Puteri, Puchong, Selangor.

Menurut Ida, apa yang sepatutnya dilakukan oleh individu pada pagi raya ialah makan alas perut seperti buah-buahan dan sayuran sebelum menikmati juadah sinonim pada hari raya seperti lemang dan rendang.

"Memang sesiapa pun tak boleh menolak juadah di pagi raya. Alas perut memang penting kerana apabila kita mengambil buah dan sayur yang kaya dengan serat, akan memberi lapisan kepada usus supaya lemak tidak diserap dengan banyak ke dalam darah. Antara buah yang baik dimakan ialah buah limau, epal hijau, kiwi dan salad," jelas Ida.

Tambahnya, seperkara lagi yang perlu dielak pada musim raya ialah pengambilan minuman yang mengandungi kafein.

"Kita perlu tahu bukan kopi dan teh sahaja yang mengandungi kafein, air bikarbonat juga mengandungi kafein.

"Pengambilan minuman berkafein bersama lemang, rendang dan sebagainya memang memudaratkan usus. Sebaiknya, apabila kita makan makanan berlemak, minumlah air suam dan jus buah sebagai alternatif.

"Salah satu cara penyerapan lemak terbaik untuk tubuh ialah pengambilan soy lecithin sebelum makan makanan berlemak.

"Makanan tambahan ini berfungsi sebagai penyerap lemak yang akan dikeluarkan melalui najis ketika membuang air besar," jelas Ida yang turut aktif memberi ceramah pemakanan sihat di hospital swasta sekitar Lembah Klang.

Ida menambah, kerepek adalah makanan yang perlu dielak kerana ia mengandungi oksida yang tinggi.

Bahan makanan bergoreng dan mengandungi oksida tinggi ini boleh menyebabkan badan dipenuhi dengan toksin dan sebagai penyelesaiannya mereka disarankan mengambil bahan anti oksida seperti vitamin A, C dan E.

"Jika mahu makan kerepek, pilihlah kerepek daripada jenis dipanggang seperti emping jagung. Jika suka makan kekacang pula pilihlah kacang parang atau kacang kuda yang mempunyai kandungan lemak baik atau omega yang tinggi.

"Jangan makan makanan mengandungi protein sekali gus. Sebagai contoh, makan ayam, daging, sotong dan ikan dalam satu masa, ini kerana usus hanya akan menghadamkan protein yang paling ringkas sahaja seperti ikan.

"Protein lain seperti daging dan sotong akan terus menjadi toksin yang sekiranya tidak dibuang akan menjadi penyebab penyakit seperti migrin dan masalah-masalah lain," katanya.

Risiko makan banyak

Menurut Ida, antara risiko yang boleh terjadi pada individu yang tidak mengawal pemakanan mereka pada musim raya ialah sembelit.

"Apabila sembelit berlaku, masalah seperti buasir akan timbul. Selain itu, usus juga boleh mengalami kecederaan dan sekali gus mengakibatkan sistem penghadaman kacau bilau.

"Ketika bulan puasa, pesakit darah tinggi atau kencing manis akan turun kadar glukos dan kolesterol tetapi naik mendadak pada musim raya. Kita tidak mahu bulan raya diserang penyakit berbahaya, sebab itu kena kawal makan.

"Sebaiknya buang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari. Selain menikmati makanan yang sedap pada hari raya, pastikan juga minum air kosong lapan gelas sehari demi kesihatan yang optimum," pesannya. Sumber Utusan Online


KRT - Bersatu Terus Maju


Saturday, September 19, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Fitri


Pengerusi serta AJK KRT Bandar Sultan Suleiman Fasa 4 mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Dan Batin kepada semua warga KRT. Semoga dengan kedatangan Syawal ini membawa sinar perpaduan yang berpanjangan serta kemantapan di dalam mengharungi hidup bermasyarakat yang aman dan bersatu padu.


KRT - Bersatu Terus Maju

Monday, September 14, 2009

Latar Belakang Ringkas Parlimen Malaysia


Sempena Dengan Ulangtahun Ke-50 Parlimen Malaysia

Selepas 52 tahun merdeka, sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan institusi-institusi demokrasinya kekal agung.

Badan perundangan yang berasaskan kepada Westminster di Britain diterima oleh Malaysia selepas mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1957 dan merupakan institusi penting bagi Demokrasi Berparlimen dengan Raja Berpelembagaan sebagai pemimpin tertinggi.

Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana Malaysia kekal sebagai negara demokratik sejak merdeka sedangkan banyak daripada negara telah beralih kepada pemerintahan tentera atau diktator.

Walaupun prinsip demokrasi negara pernah tercabar tetapi secara keseluruhannya demokrasi serta institusi-institusinya masih berperanan penting di Malaysia.

Antara institusi yang mendaulatkan demokrasi di Malaysia ialah Parlimen, yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Parlimen merupakan tempat di mana undang-undang negara dirumus, dibahas dan diluluskan demi manfaat negara dan rakyatnya. Parlimen mewakili suara rakyat, intipati penting demokrasi.

SEJARAH BANGUNAN PARLIMEN

Pada bulan Disember 1959, satu kawasan berhampiran Taman Bunga Kuala Lumpur dipilih sebagai tapak kompleks bangunan Parlimen.

Menurut laman web rasmi Parlimen, ilham untuk membina kompleks bangunan Parlimen datangnya daripada Ketua Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Bangunan yang menjadi simbol demokrasi di negara ini melibatkan kos RM18 juta.

Yang di-Pertuan Agong ketiga Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah berkenan melakukan peletakan batu asas.

BANGUNAN UTAMA

Kompleks bangunan parlimen ini terbahagi kepada bangunan utama tiga tingkat dan menara yang mempunyai 17 tingkat.

Ia dirasmikan oleh Tuanku Syed Putra pada 21 Nov 1963.

Bangunan utama tiga tingkat itu menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Di tingkat pertama terdapat kantin, bilik wartawan dan bilik jamuan anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Reka bentuk Dewan Negara hampir serupa dengan Dewan Rakyat tetapi ruangnya kecil sedikit. Bagaimanapun Dewan Negara mempunyai keistimewaan tersendiri. Jendela-jendelanya lutsinar dengan corak Islam asli daripada mozek merah dan biru.

Di tingkat bawah bangunan ini pula terletak bilik rehat diraja, sebuah surau bulat yang boleh memuatkan 100 jemaah dan sebuah dewan jamuan besar yang boleh memuatkan 500 orang.

Di tingkat kedua terbahagi kepada dua anjung. Anjung kiri terdapat dua buah bilik jawatankuasa yang besar (boleh memuatkan 30 orang), empat bilik kecil (muat 12 orang), pejabat dan tempat rehat bagi para pegawai kerajaan serta bilik Persatuan Parlimen Komanwel.

Di anjung kanan pula terdapat dua bilik makan, satu bilik khusus untuk ahli Parlimen dan yang lainnya untuk tetamu serta pegawai kerajaan. Ruang dapur terletak di antara dua bilik makan ini. Dapur ini mampu menyediakan makanan bagi 1,000 orang tetamu dalam satu masa. Bahagian tengah tingkat kedua ini dipayungi oleh bumbung Dewan Rakyat. Ia dijadikan Taman Sari iaitu tempat anggota Parlimen berehat semasa persidangan.

MENARA

Menara setinggi 17 tingkat ini terletak di hadapan bangunan utama. Ia bersambung ke bangunan utama melalui sebuah jambatan dan di dalamnya ditempatkan pejabat para menteri dan anggota Parlimen yang lengkap dengan segala kemudahan seperti kerusi meja dan pembesar suara.

Di tingkat dua menara ini terdapat ruang tempat duduk dengan pemandangannya ke arah padang perbarisan di mana acara sambutan rasmi Parlimen diadakan.

Di tingkat 16 pula terdapat ruang lapang untuk menikmati keindahan pemandangan sekeliling kawasan Parlimen. Di menara inilah majlis-majlis tidak rasmi diadakan.

KEISTIMEWAAN

Tahukah anda berapa banyak batu-bata yang digunakan untuk membina kompleks Parlimen?

Menurut laman web rasmi Parlimen, lebih daripada sejuta batu-bata, 2,000 tan besi waja, 54,000 tan konkrit, 200,000 kampit simen dan 3,000 tan kaca telah digunakan untuk pembinaannya.

Keseluruhan bangunan Parlimen ditutup dengan kaca yang boleh menyerap haba dan cahaya.

Bagi menghalang sinaran cahaya matahari itu, seluruh bangunan ditutup dengan terawang berukir diperbuat daripada konkrit. Terawang berbentuk sarang lebah itu dipasang bahagian demi bahagian dan ini menyerlahkan lagi kehebatan bangunan ini.

Sementara itu, sistem pembahagian air yang membekalkan air kolam dan pancurannya merupakan satu lagi ciri keistimewaan bangunan Parlimen yang mana air akan mengalir melalui dua sistem yang berangkai.

Air berwarna biru, yang berfungsi untuk menghindarkan lumut dan lumpur, bermula di bahagian bumbung bangunan membawa ke seluruh kompleks.

Selain daripada keistimewaan pada bangunannya, kompleks Parlimen turut dihiasi dengan pelbagai jenis tumbuhan dan binatang peliharaan.

Antara pokok yang ditanam sekitar kawasan Parlimen ialah pokok berlian, mata kucing, berangan, nam-nam, selarat dan tamar, yang diimport khas dari Arab Saudi.

Bersebelahan kawasan kompleks Parlimen terdapat kawasan lapang yang dijadikan Taman Rusa.

Parlimen sekarang ini sudah masuk penggal ke-12.

sumber BERNAMA



KRT - Bersatu Terus Maju



Sunday, September 13, 2009

Cara orang Melayu dulu-dulu beraya


SEBELUM kedatangan sebarang agama ke Alam Melayu, penduduk di rantau ini seperti juga di lain-lain tempat di Asia Tenggara menganut kepercayaan alam roh, maknanya semua benda dipercayai ada roh, pokok, binatang dan lain-lain.

Maka roh paling utama ialah pada padi. Tanpa beras, orang Melayu akan mati.

Justeru perayaan paling besar tentunya ketika menyambut hari menuai padi. Seperti mana hari perayaan pribumi Sarawak, Sabah dan Orang Asli, maka begitu jugalah apa yang dilakukan oleh orang Melayu dan semua kaum di Nusantara.

Dipanggil sambutan ini sebagai Hari Raya kerana ia merujuk kepada kebesaran sesuatu perayaan. Ia merupakan hari meraikan atau merayakan kejayaan penanaman padi. Tetapi cara hidup orang Melayu kemudian berubah apabila mereka bukan saja menjadi masyarakat petani tetapi juga menjadi bangsa berdagang. Mereka mampu membina kapal-kapal besar untuk berlayar. Menjadi bangsa maritim bermula dengan keupayaan orang Melayu mewujudkan kerajaan di pesisiran pantai dan kuala sungai. Mereka membina pelabuhan bagi menarik kunjungan kapal-kapal dagang dari China, India, Parsi dan Arab.

Di sinilah munculnya kerajaan Sri Wijaya. Daripada kunjungan kapal-kapal ini, maka agama Hindu pun bertapak di alam Melayu. Sebagai bangsa maritim, orang Melayu sudah tidak lagi menyambut hari menuai sebagai hari kebesarannya yang utama. Dengan beragama Hindu, orang Melayu turut menyambut hari Perayaan Cahaya mengatasi Kegelapan. Dalam sambutan Diwali atau Deepavali, lampu-lampu dipasang di keliling rumah. Suatu amalan Hari Raya yang kini sudah menjadi sebahagian daripada budaya Melayu.

Merantau

Orang Melayu kuat merantau. mereka berlayar di sekitar kepulauan Melayu. Walaupun terdiri daripada banyak kerajaan, tetapi Nusantara adalah Dunia Melayu.

Maka setiap Hari Raya, mereka akan balik ke kampung halaman seboleh mungkin untuk menemui ibu, bapa dan sanak saudara. Amalan balik kampung menjadi suatu kemestian semasa Hari Raya kini terus diamalkan oleh orang Melayu.

Tetapi menarik untuk mengetahui bagaimanakah orang Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika mula memeluk agama Islam.

Cuba bayangkan bagaimana orang Melayu zaman kesultanan Melaka menyambut Hari Raya. Lebih-lebih lagi pada tahun pertama mereka memeluk Islam. Tentu sukar bagi istana Melaka, apatah lagi rakyatnya berpuasa.

Bagaimanakah pihak istana membuat keputusan untuk menjadikan Hari Raya Aidilfitri sebagai Hari Raya bagi orang Melayu? Mengapa mereka memilih Hari Raya Puasa dan bukannya Hari Raya Haji?

Dalam ibadat, dikatakan orang Melayu lebih menekankan tentang puasa berbanding ibadat lain. Pendakwah berjaya meyakinkan keseluruhan masyarakat Melayu supaya berpuasa, bertarawih dan mengharapkan Lailatul Qadar. Maka Hari Raya menjadi begitu bermakna bagi orang Melayu dengan dikaitkan dengan kejayaan beribadat puasa.

Pada Hari Raya pula, ulama Melayu dahulu membuat keputusan untuk mengambil takbir raya yang bernada syahdu. Ini kerana di lain-lain tempat, takbir mereka bernada semangat juang. Ini kerana takbir itu berasal daripada laungan semasa Perang Badar, yang kemudian diabadikan dalam sambutan meraikan kemenangan perang itu.

Tetapi bagi orang Melayu di Nusantara, nada takbir adalah berbentuk sayu dan sedih mengenangkan sanak saudara yang sudah tiada atau pergi tidak kembali. Ini kerana bagi masyarakat Melayu, balik kampung waktu Hari Raya adalah penting. Jika tidak dapat balik, maka si ibu atau bapa akan teringatkan anaknya terutama semasa takbir yang bernada sedih dan sayu.


KRT - Bersatu Terus Maju