Friday, August 21, 2009

CSI Malaysia - Penjejak Bukti Jenayah




Elak bahan bukti tercemar. Kawal tempat kejadian jenayah perkara paling penting bagi
memastikan bukti yang dibawa ke mahkamah tidak dipersoalkan


JIKA CSI Las Vegas berbangga dengan ketelitian Gil Grissom, CSI: Miami boleh mengharapkan kepakaran Horatio Caine dan Mac Taylor menjadi tonggak kekuatan CSI: NY, Malaysia tidak ketinggalan berada dalam kelas tersendiri dengan wujudnya CSI Bukit Aman atau dikenali secara rasmi sebagai Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2001.

Lebih menarik apabila kakitangan di Makmal Forensik itu tidak perlu menghafal skrip atau mencipta persekitaran jenayah untuk membolehkan unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) bergegas mengumpul bukti kerana saban hari mereka dihidangkan dengan kejadian sebenar yang mencabar kemampuan dan kesungguhan anggota pasukan CSI.

Ia sama sekali berbeza dengan ketiga-tiga siri penyiasatan suka ramai itu yang perlu tampil setiap minggu dengan rekaan kes jenayah menarik serta memasukkan fiksyen bagi menyedapkan cerita demi mencatatkan kadar penonton tertinggi.

Juruanalisis Seksyen Tempat Kejadian Jenayah Makmal Forensik PDRM, Asisten Superintendan Zuraimi Zam Zam, berkata Makmal Forensik itu diwujudkan, pertamanya bagi membantu pegawai penyiasat (IO) menyiasat kejadian jenayah secara saintifik dan lebih bersistematik.

"Sebelum unit ini ditubuhkan, IO yang perlu mengutip bukti dan melakukan siasatan. Dengan ada CSI, mereka boleh memberi tumpuan kepada membuat siasatan ke atas saksi kes, seterusnya mengesan dan menangkap suspek.

Cecair kimia yang digunakan untuk kesan cap jari dan darah. Gambar kecil, kesan air mani dalam kes rogol dikesan dengan menggunakan Crime Light dan google warna jingga.

"Kedua, ia berfungsi untuk mengumpulkan bahan bukti yang ada kaitan dengan kes dan memastikan bukti itu elok serta tidak tercemar. Tidak guna mengutip banyak benda yang ada di tempat kejadian jenayah tetapi apabila diperiksa ia tidak membawa apa-apa nilai kepada siasatan.

"Oleh itu, anggota CSI tidak boleh terburu-buru terus mengumpulkan bukti. Sebaliknya, mereka perlu merenung dan membayangkan jenayah untuk mendapatkan gambaran bagaimana kemungkinan ia berlaku. Kemudian barulah mula mengumpul bukti yang dirasakan berkaitan. "Selain meneliti keadaan mayat secara luaran, pemeriksaan persekitaran tempat kejadian untuk mendapatkan bahan bukti yang berkualiti, seterusnya membuat rekonstruksi (gambaran semula) kejadian adalah tugasan utama kami," katanya yang sudah berkhidmat di Makmal Forensik itu sejak Mac 2002.

Dalam kes bunuh diri sebagai contoh, beliau berkata, unit CSI akan dipanggil ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan dan jika dalam penelitian mereka mendapati kes itu atau persekitarannya mencurigakan, siasatan akan dibuat sama ada ia kes bunuh diri atau dibunuh.

Beliau berkata, petugas CSI mestilah seorang anggota polis tetapi keutamaan diberikan kepada mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang sains seperti kimia, biologi, fizik dan sains forensik.


"Ia bertujuan menyediakan pegawai yang mempunyai asas dalam bidang sains untuk menjalankan siasatan secara saintifik. PDRM menyediakan kursus untuk anggota dan pegawai CSI dari semasa ke semasa di dalam dan luar negara untuk meningkatkan kecekapan mereka.

"Ketika Makmal Forensik ini mula ditubuhkan, pegawai dihantar menjalani kursus di Australia selama tiga bulan dalam bidang forensik," katanya.

Ketika cara persembahannya berlainan, peralatan yang digunakan di luar dan di dalam skrin televisyen masih sama, malah cara mengumpul dan menjaga bahan bukti juga tidak berbeza.

Zuraimi berkata, bagi unit CSI, menjaga tempat kejadian jenayah adalah perkara paling penting bagi memastikan bukti yang ada tidak tercemar dan tidak dipersoalkan apabila kes dibawa ke mahkamah.

"Sebaik unit CSI sampai, polis biasa pun tidak akan dibenarkan berada dalam kawasan kejadian. Ia menjadi tempat kami. Penting untuk memastikan tempat kejadian tidak tercemar atau bahan bukti tidak berkaitan ada di situ.

"Sebagai contoh, orang lain yang tiada kena mengena dengan kes, menghisap rokok dan membuang puntung di tempat kejadian. Kami mungkin akan mengutipnya sebagai bahan bukti. Setelah analisis dibuat, akhirnya didapati ia tidak berkaitan dan akan menjejaskan kes," katanya.

Namun bagi unit CSI, kemungkinan untuk bukti atau tempat kejadian jenayah tercemar adalah tipis sekiranya pengawalan dilakukan dengan baik.

"Sebagai peringatan kepada orang ramai, saya meminta mereka supaya tidak menjadi `pencemar' di tempat kejadian, dengan berkumpul dan menyaksikan apa yang berlaku seperti melihat suatu pertunjukan," katanya.

Tegas Zuraimi, contoh pencemaran paling mudah ialah apabila jenayah berlaku dalam rumah dan individu yang paling awal sampai tidak begitu peka dengan kepentingan bukti, mungkin menjejaskan bukti sedia ada.

"Contohnya, penemuan lebih daripada satu kesan tapak kasut di tempat kejadian boleh menjejaskan penilaian yang dibuat oleh unit CSI, sedangkan pada hakikatnya kesan itu adalah hasil kecuaian individu yang sampai awal yang tidak peka dengan pengawalan tempat kejadian," katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika mangsa masih hidup apabila polis sampai, tanggungjawab utama ialah menyelamatkan mangsa dengan meminimumkan pencemaran di tempat kejadian.

"Sebagai contoh, mangsa yang ditikam atau ditembak mengalami pendarahan teruk. Anggota polis yang paling awal tiba dikehendaki menyelamatkan mangsa walaupun pada masa sama terpaksa memijak darah atau mengalih mangsa atau dengan menghubungi ambulans. Malah dalam sesetengah kes, ambulans dan pasukan paramedik lebih dulu sampai daripada unit CSI.

"Bagaimanapun, pada masa ini, banyak kursus berkaitan fungsi Pegawai Pertama Tempat Kejadian dianjurkan oleh pihak Makmal Forensik PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di seluruh negeri bagi menambahkan pengetahuan berkaitan pentingnya pengawalan di tempat kejadian.

Menyentuh masa yang diambil untuk memproses tempat kejadian, Zuraimi berkata, ia terpulang kepada bentuk jenayah itu sendiri. Kadangkala siasatan mengambil masa seawal 1 hingga 2 jam dan ada kalanya mengambil masa berhari-hari. Kadangkala tempat kejadian perlu dilawati semula sekiranya IO mendapat petunjuk baru dalam menjalankan sesuatu siasatan.

Dalam satu pasukan CSI, ada lima anggota iaitu ketua pasukan, pelukis rajah kasar, jurufoto, pencatat dan pengumpul barang kes. Sekiranya ada kes yang memerlukan kehadiran pakar, pakar patologi dan Bomb Tech (pakar letupan) akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Mengenai kadar penyelesaian kes jenayah, Zuraimi berkata, ia sukar diukur kerana kebanyakan kes masih dibicarakan. Namun baginya, kemampuan anggota CSI menunjukkan sesuatu bukti dengan positif adalah satu kejayaan.

"Sukar mencatatkan kadar kejayaan kes kerana ia masih dibicarakan tetapi apabila dapat mengaitkan suspek berada di tempat kejadian dengan bukti yang ditemui, bagi saya itu satu kejayaan. Berjaya atau tidak memenangi kes itu pula bergantung kepada faktor lain seperti keterangan saksi dan perkara lain.

"Kadang-kadang kesilapan teknik boleh menggugat kes dan disebabkan itu, anggota CSI amat berhati-hati supaya cara pengumpulan dan pemeriksaan bukti tidak boleh dipertikai," katanya.

Selain kes bunuh, unit CSI turut bertanggungjawab membawa penjenayah kejadian rompakan, samun, pecah rumah dan rogol ke muka pengadilan melalui bukti yang ditinggalkan di tempat kejadian.


sumber dari BH Online

Wednesday, August 19, 2009

Program Gerak Padu Rukun Tetangga Daerah Klang

KRT Bandar Sultan Suleiman Fasa 4 telah menyertai Program Gerak Padu Rukun Tetangga anjuran Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional pada 19 Ogos 2009, bertempat di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Klang. KRT Fasa 4 telah diwakili oleh Pengerusi KRT Fasa 4, Encik Zamani Haji Hasan serta beberapa AJK yang lain.

Di dalam program ini, KRT telah diberikan taklimat oleh wakil dari Takaful Ikhlas, Encik Shahrul Azmi Bin Haji Abd Rahman ; berhubung dengan Skim Takaful Kemalangan Diri untuk Ahli Rukun Tetangga. Skim ini meliputi Ahli Jawatankuasa KRT, Ahli Peronda SRS dan Jawatankuasa Jiran Wanita di setiap KRT di seluruh Malaysia.

Skim ini diwujudkan oleh pihak kerajaan melalui Syarikat Takaful Ikhlas ke atas semua ahli rukun tetangga yang berdaftar di bawah JPNIN di seluruh negara yang bermatlamatkan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan ahli-ahli KRT yang sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko kemalangan.

Di samping itu juga, skim ini diharap dapat meringankan bebanan kewangan ahli-ahli KRT yang disebabkan oleh kemalangan yang tidak diduga.

Justeru, kepada peronda-peronda SRS KRT Bandar Sultan Suleiman yang menyertai Skim Rondaan Sukarela tidak perlu bimbang kerana keselamatan mereka ketika bertugas kini lebih terjamin dan dilindungi.


LAPORAN TUNTUTAN INSURANS KEMALANGAN BERKELOMPOK AJK RT DAN PERONDA SRS, SELANGOR DARUL EHSAN

BIL NAMA KRT KEMALANGAN TUNTUTAN JUMLAH
1 Zakarian
B. Basiron
KRT Seksyen 5
Hulu Langat
Kemalangan
Jalanraya
Meninggal
Dunia
RM18000
2 Fahrizul
B. Sarjuni
KRT Parit Baru
Sabak Bernam
Kemalangan
Jalanraya
Meninggal
Dunia
RM18000
3 Md Jailani
B. Nasir
KRT Zon C
(Dahlia Apartment)
Terjatuh Dari
Bumbung
Cedera RM103
4 Muhammad Noor
B. Borhan
KRT Zon B
Taman Putra Perdana
Terjatuh
Bersukan
Cedera RM40
5 Thanaletchumy
A/P P.Alagirisamy
KRT SS19/A
Subang Jaya
Dihempap
Kipas
Cedera RM500


Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web Takaful Ihklas di www.takaful-ihklas.com.my


KRT - Bersatu Terus Maju


Tuesday, August 18, 2009

Karnival Futsal KRT Fasa 4 2009

KRT Fasa 4, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang telah menganjurkan Karnival Futsal KRT pada 12 & 13 Jun 2009, bertempat di padang Futsal KRT Fasa 4. Sebanyak 26 pasukan telah mengambil bahagian di dalam karnival tersebut. Pemenang pertandingan mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM700.00 sebagai juara, RM500.00 Naib Juara dan Ketiga sebanyak RM300.00

Karnival ini adalah salah satu lagi aktiviti KRT Fasa 4 untuk merapatkan lagi silaturrahim dikalangan penduduk setempat melalui aktiviti sukan. Berikut adalah foto-foto ketika karnival itu berlangsung :-

Baner Karnival Futsal


Replika cek hadiah pertandingan


Pasukan juara - Pasukan KRT Fasa 4


Tanpa penyeri, tiadalah ceria



KRT - Bersatu Terus Maju

Sunday, August 16, 2009

Fakta Tentang Virus H1N1


Fakta Mengenai Virus Influenza A (H1N1)

Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada. Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian.

Sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini, untuk membendung wabak pandemik di Malaysia (to slow down the spread), aktiviti kawalan dan pencegahan yang sedia-ada akan diteruskan melalui langkah-langkah pencegahan dan mitigasi. Langkah pencegahan dan mitigasi ini perlu diambil bagi memastikan kes-kes yang berisiko dikenal pasti dan diambil tindakan awal untuk mengelakkan komplikasi. Orang ramai adalah diminta untuk sama-sama mengambil bahagian dalam menangani pandemik ini.

Aktiviti-aktiviti yang sedia ada akan dikaji dari masa ke semasa untuk memastikan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan yang cekap dan berkesan agar penularan kes di Malaysia dapat dikurangkan ke tahap yang minima.

Apa itu Fasa Mitigasi (Peredaan)

Aktiviti mitigasi adalah tindakan membendung wabak pandemik H1N1 di Malaysia dengan memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan mengamalkan adab batuk yang sesuai.

Strategi utama fasa ini adalah untuk mengurangkan kesengsaraan dan kematian akibat penyakit ini, melambatkan jangkitan penyakit dan mengurangkan kesan terhadap gangguan perkhidmatan utama.

Siapakah yang berisiko tinggi akibat jangkitan Influenza A (H1N1)?

  1. Kanak-kanak berusia kurang 5 tahun

  2. Individu berusia 65 tahun dan ke atas

  3. Kanak-kanak dan remaja (<>
  4. Wanita mengandung

  5. Dewasa dan kanak-kanak dengan asma, penyakit pernafasan kronik obstruktif, kegagalan organ, penyakit kardiovascular, hepatik, heamatologikal, neurologik, neuromuscular atau masalah metabolik seperti Diabetes Mellitus

  6. Dewasa dan kanak-kanan yang mengalami daya ketahanan yang rendah (immunosuppression)

  7. Individu yang menginap di rumah kebajikan dan institusi penjagaan yang lain

Peranan Masyarakat Semasa Fasa Mitigasi

Masyarakat perlu mengetahui cara virus ini merebak.

  • Influenza A (H1N1) virus berjangkit dari manusia kepada manusia melalui titisan cecair, (yang dikeluarkan semasa bercakap, batuk atau bersin).

  • Mana-mana individu yang berhubung rapat (lebih kurang 1 meter) dengan individu yang mengalami gejala selesema (demam, bersin, batuk, hidung berair, menggigil, sakit sendi dan lain-lain adalah berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit akibat dari titisan cecair.

  • Oleh itu, masyarakat perlu mengambil langkah pencegahan berikut:

    1. Amalkan kebersihan diri dan adab batuk yang betul

    2. Amalkan kawalan jangkitan sama ada di rumah, tempat kerja atau pengangkutan awam

    3. Peranan penutup mulut dan hidung (mask) dalam masyarakat

      • Tiada bukti kukuh mengenai keberkesanan memakai mask di tempat awam. Namun, ia telah digunakan dalam ruang yang sesak/tertutup apabila berhubung dengan individu yang mengalami gejala selesema

      • Individu boleh memakai penutup mulut dan hidung (surgical mask) di rumah dan di kalangan masyarakat, terutamanya jika mereka berhubung rapat dengan individu yang mengalami gejala influenza, contohnya semasa menjaga ahli keluarga yang sakit.

      • Penggunaan mask membolehkan individu yang mengalami gejala influenza untuk menutup mulut dan hidung mereka bagi menghalang titisan cecair dari tersebar, salah satu kaedah adab batuk yang betul/baik.

      • Surgical mask juga disyorkan kepada golongan yang berisiko tinggi apabila berada di kawasan yang sesak.

    4. Pesakit dinasihatkan untuk tinggal di rumah, elakkan berhubung rapat dengan ahli keluarga yang lain serta mengambil langkah kawalan dan pencegahan dari menjangkiti mereka yang menjaga pesakit.

    5. Sekiranya gejala influenza semakin teruk, pesakit hendaklah SEGERA mendapatkan rawatan di hospital.

    6. Sekiranya individu yang tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi mengalami gejala influenza, segera dapatkan rawatan awal

    7. Elakkan berada di kawasan sesak dan seboleh-bolehnya tangguhkan/ batalkan / kurangkan menghadiri majlis keramaian

    8. Dapatkan maklumat terkini mengenai situasi semasa dari sumber yang boleh dipercayai seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak


KRT Bandar Sultan Suleiman Fasa 4, Pelabuhan Klang mengucapkan Selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua warga KRT. Semoga dengan kadatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak dapat kita mempertingkan lagi amal ibadat serta syukur kepada Allah SWT yang telah memberikan nikmat yang tidak terhingga serta peluang menunaikan ibadah puasa pada tahun ini.

Insyaalah, disepanjang bulan Ramadhan ini kelak, KRT Fasa 4 merancang beberapa aktiviti yang bersesuaian. Antaranya adalah seperti berikut :-

  • Program Berbuka serta Bertarawih bersama ahli-ahli KRT
  • Sumbangan DuitRaya kepada Anak-Anak Yatim di BSS
  • Program Kacau Dodol dan Ketupat KRT


KRT - Bersatu Terus Maju